Kamis, 24 Januari 2008

Hati dan diri

Bila membaca tajuk, pasti ada yang bermonolog, apakah yang ingin dibincangkan kali ini??...Hmm..Hari ini, aku sekadar mahu berkongsi rasa sahaja apakah yang terbaik untuk kita dalam mengawal hati kita agar sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati, berwaspada dengan fitnah dunia.Dan penghujung dari keadaan ini, untuk sentiasa merasakan hidup kita berTuhan.Perkongsian ini, hanyalah apa yang difikirkan elok bagiku.Apa yang cuba aku amalkan dan agar ianya istiqamah.

Kenapa penting sangat hati ini?..Kerana ianya tempat Allah melihat kita.Kalau manusia selalu akan menilai sesiapa sahaja yang dijumpainya dengan nilaian kecantikan,kekayaan, rupa paras dan lain-lain ciri.Tetapi , hati kita ni adalah tempat nilaian Tuhan terhadap diri kita.Amalan yang disertakan dengan hati yang bersih pasti akan diganjari sebaiknya.

Aku tidaklah tahu sangat dalam bab menjaga hati ini, cuma apa yang ingin dikongsi, adalah perasaan ini.Ketenangan, keseronokan, kebahagiaan. Mungkin lain orang, lain cara tindakan, dan bagiku beberapa perkara aku letakkan sebagai keutamaan dalam menjaga kesucian hati ini .

Selalu yang pertama-tama disebut adalah tentang bab makanan.Aku dalam bab ni, sangat memandang serius.Kerana dari makanan inilah akan melahirkan pelbagai sifat.Kalau tidak dijaga, ia akan menyebabkan kekerasan hati. Dan menjaga aku dalam bab ni, adalah dari sudut keberkatan, jika halal haram semua orang dah pasti,tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

Mengambil yang halal itu sendiri keberkatan, meninggalkan yang haram juga satu keberkatan, tapi ramai orang melihat meninggalkan perkara yang ragu-ragu itu bukan sebagai satu keberkatan.Dan bagi aku, ragu-ragu inilah yang menunjukkan siapa diri kita.Nabi sebut, siapa yang menjaga dari ragu-ragu (syubhah) maka dia telah menjaga agamanya.Setiap yang masuk ke perut aku, aku akan pastikan ianya lari (jelas) dari sebarang keraguan.Sebab itu, kadang-kadang orang naik pening kenapa aku suka bertanya ke akar umbi.Walaupun hukum fekah katakan , kalau seseorang muslim kata sesuatu makanan itu halal, jangan diselidiki ke akar umbi apakah sumbernya,dari mana betul ke.Terus percaya sahaja.

Sebagai contoh, hidup di negara Russia ni, dengan muslim sebagai minoriti , kadang-kadang bila kita berjumpa dengan sesuatu kedai muslim, kita akan terus gembira kerana akan memudahkan kita untuk bertukar rasa lidah jika malas memasak. Aku pun tidak terlepas dari sifat ini.

Cuma dalam meyakinkan aku tentang makanan yang dijual, sangat-sangat dititikberatkan.Kerana walaupun dia mengatakan dia muslim, dan mengatakan apa yang dijualnya halal, tapi yang memakannya adalah aku, dan yang akan jadi darah daging dari makanan itu adalah diriku.Maka sebab itu, aku akan selidiki keislaman si peniaga.Jikalau ditanya apakah dia muslim, maka jika menjawab 'Ya ,saya muslim' maka aku akan kesoalan seterusnya yang lebih mendalam.Jika dia menjawab "Alhamdulillah,Allah beri hidayah dan jadikan saya sebagai muslim" maka jawapan ini lebih meyakinkan aku tentang keislamannya. Kemudian aku akan bertanya tentang solatnya,apakah dia menjaga solatnya atau berapa kali dia solat dalam satu hari.

Jika dia menjawab satu hari dia solat dua kali sahaja (pernah jumpa dan jangan tanya dimana) atau kurang dari lima,maka aku tidak akan membeli dari kedai ini.Tetapi jika dia menjawab bahawa solat itu lima kali, dan lebih elok jika solat secara berjemaah.maka Pasti aku akan kunjungi kedai ini.Reasonnya, kerana orang yang menjaga hak Allah sedangkan Allah itu tidak dapat dilihat maka pasti dia akan menjaga hak manusia yang boleh dilihat.Kedua, muslim di rusia ni minoriti, jadi pasti dia tidak target golongan minoriti sahaja akan membeli,bahkan orang-orang rusia sendiri.Jadi, jika dia berjaya mengekalkan diri dia,hubungan dia dengan Allah, pasti dia beroleh kekuatan untuk mendapatkan sumber halal pada perniagaannya.Dan orang jenis ini lebih bertanggungjawab bagi aku untuk memikul berat dosa diatas apa yang dikatakannya berbanding peniaga pertama.

Peniaga yang pertama memberikan keraguan padaku adakah betul dia dapatkan sumber daging dan bahan-bahan halal untuk jualannya jika hubungannya dengan Allah tidak dijaga??..Itu yang menyebabkan aku tidak membeli di situ.Kalau orang lain yakin, dipersilakan ,aku memang tidak mungkin.Ini antara sebab mengapa aku lebih rela ke restoran masjid yang jaraknya hampir 40 minit perjalanan pergi.Aku mendapat kepuasan bukan sahaja jasadi malah rohani kerana sering mendapat input nasihat ketika sibuk menjamah makanan dari kenalan-kenalan di sana. Hidup sebagai kaum minoriti banyak mengajar aku tentang berharga Islam yang dimiliki. Russian Muslim yang pergi ke masjid dan menjaga solat mereka tatkala orang lain tidak tahu yang dia muslim itulah yang paling aku percaya. Aku bertanya kalian sidang pembaca, manakah keadaan yang lebih kalian banyak buat amal, jika ada ramai orang atau sikit orang??..atau jika kalian duduk ramai-ramai, mesti kalian akan solat awal waktu kan??..tapi cuba duduk sorang-sorang, pasti agak liat untuk solat pada awal waktu kan??...

Sebab itu aku percaya sangat pada muslim di sini yang menjaga solatnya walaupun tiada siapa yang akan menegur mereka, tetapi sifat tanggungjawabnya pada Allah, mereka jaga, maka pasti hak-hak manusia akan mereka jaga.Itu nilai yang aku pegang.

Untuk makanan juga, bagi barang-barang yang dibungkus siap, aku akan cek betul-betul apakah ingredient yang digunakan, jika ada keraguan padanya walaupun satu, aku akan tinggalkan.Walaupun nampak sedap, tapi itulah harga untuk sebuah mujahadah.

Keduanya dalam soal jaga hati ni, agar terus kuat ,adalah bangun malam. Dan bangun malam ni, perlukan kekuatan yang bukan sahaja datang dari keinginan, tapi juga kesan dari makanan. Selalu, kalau aku jadi tak sedar untuk bangun awal ni, aku akan cek balik makanan yang aku makan dalam dua tiga hari sebelum tu.Maka dari situ aku belajar apakah makanan yang elok, apa yang perlu ditinggalkan. Makanan yang elok, penuh keberkatan akan memudahkan kita untuk bangun di tengah-tengah kesunyian yang orang sibuk diulit mimpi yang indah-indah.Tidurlah lewat mana pun, pasti akan terjaga jika makanan itu dijaga.

Solat malam ni banyak kelebihan.Walaupun satu rakaat sahaja kita buat, tapi kekuatan yang diberi, sangat menakjubkan.Tidak terungkai pada mulut untuk dinyatakan.Tak perlu panjang-panjang,banyak-banyak, sekadar 5 minit sebelum subuh pun, sudah dikira membangunkan malam. Faedah yang bukan sedikit bagi mereka yang mahukan perubahan.Memberi kita kekuatan untuk menghadapi fitnah dunia yang makin hari makin besar cabarannya.Apakah lebih berharga harta jika jiwa tidak tenang??..

Dua benda ni cukup besar dalam menentukan hala tuju hidup sebagai seorang muslim bagi aku.Dan kedua-dua ini saling melengkapi antara satu sama lain.Makanan yang baik diperlukan untuk mendapat kekuatan untuk bangun malam, dan bangun malam penting untuk mendapat kekuatan mengamalkan apa yang dipelajari dan terus berwaspada pada kehidupan.Jika dua benda ini terjaga, insyaallah, benda lain akan menyusul. Walaupun banyak lagi yang boleh dibincangkan seperti perubahan sikap,menundukkan pandangan,mengambil benda yang elok walaupun pada orang/musuh,menjaga hubungan sesama manusia dan banyak lagi , tapi aku melihat semua perkara lain itu , datang selepas dua benda ni. Tapi jika kalian ada tips masing-masing, boleh sahaja untuk dikongsi bersama.Moga perkongsian ini kita beroleh kebaikan bersama.

Tidak ada komentar: