Jumat, 01 Februari 2008

Ke arah suatu pembaharuan

Kremlin

Perjalanan hidupku di bumi Russia ini, banyak membantu dalam menentukan hala tuju hidupku. Banyak perkara yang dapat diteroka oleh diriku sepanjang-panjang berada di bumi bekas soviet ini. Mungkin ada sesetengah pihak menyatakan , bahawa Russia tiada benda jika dibanding dengan negara europe yang lain. Mungkin ada benar dan mungkin ada silap. Sejauh mana seseorang itu berfikir, sejauh itulah dirinya. Aku tidak menafikan dan tidak pula membangkang pendapat tersebut. Cuma kadanag-kadang kita terlepas pandang pada benda-benda yang bernilai disebabkan sikap pesimis kita terhadap sesuatu.

Mungkin sikap ini timbul kerana selalu melihat di atas sahaja, tidak mahu melihat di bawah. Aku tidak menafikan, Moscow tidak punya segala-galanya berbanding negara eropah yang lain, lebih-lebih lagi jika mahu dibandingkan dengan sikap masyarakat sini berbanding uk@irish,memang tidak boleh dibanding. Cuma dari kekurangan itu, aku melihat satu benda yang bagi aku, mungkin boleh merubah kita dalam menuju kemajuan.

Kenali diri


Rata-rata sepanjang-panjang pemerhatian aku, terhadap masayrakat di sini, pergaualan aku dengan masyarakat di sini, walaupun tidak banyak tapi serba sedikit aku dapat melihat apa yang tersirat. Kebanyakan masyarakat Russia sendiri terutama, ketepikan yang Muslim, rata-rata semua dikalangan mereka megenali sejarah tanah air mereka.Bermula dari pembukaan kota Moscow pada 1147 oleh Yuri Dolgoruki sehinggalah kepada kejatuhan pemerintahan Soviet.



Ya, mereka mengenali sejarah tanah air mereka. Jika ditanya mengenai sejarah negara lain, atau paling kurang berkenaan negara lain, rata-rata tidak mengetahui hatta Malaysia sekalipun tidak diketahui dimanakah letaknya. Sistem pendidikan yang menekankan subjek sejarah tanah air sendiri, hatta di peringkat university sekalipun, walaupun anda pelajar perubatan, subjek sejarah tidak terkecuali untuk diambil.(Pelajar-pelajar bukan Rusia terkecuali). Sistem pendidikan yang menekanakan tentang perit maung kegemilangan bangsa Russia telah menanamkan sifat bangga rakyatnya terhadap negara sendiri. Untuk pengetahuan, Russia sebuah negara merdeka, tidak pernah dijajah.

Sejarawan

Moscow State University (Lomonosov University)

Pengetahuan tentang sejarah tanah air ini memungkinkan rakyatnya agar terus berdaya saing dan yang pasti, mereka mahukan agar kegemilangan masa-masa lalu diteruskan.Sebut sahaja Lomonosov (kimia-jadual berkala),Yuri Gagarin(angkasawan), A.S Pushkin(penyair-pemuisi), Tretyakov (karya seni), Leo Tolstoy(penulis) , Pirogov(perubatan) dan ramai lagi nama-nama yang muncul dari negara ini.

Tretyakov gallery

Semua nama-nama sejarawan ini dihadam oleh hampir segenap lapisan masyarakat di sini.Mereka kenal siapa asal usul mereka, dan ini menyebabkan mereka merasakan amat tidak patut jika mereka memalukan nama-nama sejarawan mereka dengan menjatuhkan negara mereka disebabkan oleh diri mereka.Inilah diantara penyuntik semangat mereka untuk terus maju menggapai kegemilangan. Mereka berdiri di atas sejarah yang tercipta. Jika mereka membuat kerja , tiada yang dilihat melainkan kesungguhan yang dipancarkan. Penipuan dan lain-lain itu kita letak tepi.


Ke arah sesuatu yang pasti

Begitulah serba sedikit yang aku boleh kongsi bersama. Bagi aku, bangsa aku semakin lemah dek kerana buta tentang sejarah. Sejarah yang dimomokkan hanyalah bermula ketika perjuangan parti pemerintah menghantar utusan ke London dan kejayaan perutusan tersebut menuntut kemerdekaan. Itu yang paling banyak dihighlightkan. Dan ia juga lebih bersifat kejayaan sebuah bangsa(kaum) yakni Melayu. Dua benda ini yang paling banyak ditemui. Sejarah-sejarah agama, tamdaun Islam, banyak dikesampingkan menyebabkan tiadanya rasa izzah(bangga) dengan jati diri sebagai umat Islam. Tidak tahu jerih perih generasi terdahulu menyebarkan Islam, kejayaan generasi awal Islam, menyebabkan bangsa Malaysia semakin hilang jati diri. Itu yang aku lihat dengan runtuhnya generasi remaja dan belia masa ini.

Malaysia tidak akan dapat bergerak lebih jauh, jika belia dan remaja-remaja ini rosak. Pembunuhan, rogol, buang anak, rompakan, penculikan, seks bebas ,tidak hormat keluarga dan sebagainya yang menunjukkan minda generasi pemuda ini semakin jauh dari kehendak agamanya sendiri. Dengan sikap sebilangan golongan dai' yang mengambil sikap menghukum (keras)berbanding memberi penyelesaian(kelembutan) juga sedikit sebanyak menjarakkan lagi golongan ini dari jalan yang sepatutnya. Manakala sebilangan yang lain pula suka berhujah di atas perkara cabang-cabang agama berbanding terasnya(perkara pokok) menambahkan lagi parah golongan ini. Akhirnya , tinggallah segelintir golongan yang benar-benar ikhlas, tetapi dikekang,ditahan, diperlekeh dan tidak pula diberi tempat menyebabkan jurang yang besar antara golongan belia ,remaja dengan paksi agama.

Moga-moga kita yang masih diberi rahmat oleh Allah ini dengan rahmatnya Islam yang dipegang segera memulakan langkah dalam pembaikan diri kita dan yang berada dilingkungan 'circle' kita. Jangan mudah leka dan peka dengan sejarah terdahulu berita semasa dalam usaha untuk mengajak dan membuka minda generasi kita tatkala kita menyeru mereka. Mudah-mudahan ia sedikit sebanyak membantu kita dalam usaha mengembalikan generasi akan datang di atas paksi Islam yang rahmatnya meliputi seluruh alam.

"Kita kenal siapa Allah, kita berusaha menuju redhanya, kita tahu tentang syurga ,kita beramal dengan amalan ahli syurga, kita tahu tentang neraka , kita berusaha menjauhi bahang apinya "

Tidak ada komentar: